<---pLaYaR.-.iDuP--->

<---pLaYaR.-.iDuP--->

Monday, January 16, 2012

**Bingkisan Nota Lampu Merah**


Suatu Hari.......
Dari kejauhan, lampu lalulintas di satu persimpangan itu masih menyala hijau. Harun segera menekan pedal minyak kenderaannya. Dia tidak mahu terlambat. Baginya menunggu lampu merah bertukar menjadi hijau merupakan suatu jangkamasa yang panjang . Kebetulan jalan di depannya agak lengang. Lampu yang sebentar tadi berwarna hijau berganti kuning. Hati Harun meyakini bahawa dia boleh melepasinya sebelum warna bertukar menjadi merah.

Tiga meter sebelum garis jalan, lampu merah menyala. Harun bimbang. Haruskah dia berhenti, atau terus saja. Namun atas sikap yang tidak mengambil endah, pedal minyak terus ditekan rapat. "Ah, takkan nak brake mendadak," fikirnya sambil terus memandu laju.

Priiiiiiiiiiiiiiit! Di seberang jalan, seorang pegawai polis melambaikan tangan memintanya berhenti. Harun ketepikan kenderaannya agak jauh sambil merungut dalam hati. Dari cermin pandang sisi, dia melihat pegawai polis itu. Wajah itu tidak terlalu asing baginya.

Jamal rupanya! Sahabat baiknya semasa di sekolah menengah dulu. Hati Harun agak lega. Dia cepat-cepat keluar sambil melambai mesra.

"Ya Allah, Jamal! Lamanya tak jumpa... Last jumpa masa aku kahwin dulu, kau apa khabar sekarang?"

"Aku baik je. Alhamdulillah." dengan senyuman yang nipis Jamal membalas.

"Jamal... Aku nak cepat ni. Bini aku dah lama menunggu di rumah."

"Oh, ye ke?" Nampaknya Jamal ragu.

"Ye la Mal, hari ini bini aku punya birthday. Dia dan anak-anak dah siapkan semuanya. Tentu aku tidak boleh terlambat, kawan-kawannya pun sedang menunggu."

"Aku paham. Tapi, sebenarnya aku dah lama perhatikan kau... Selalu sgt kau langgar lampu merah di persimpangan ini."

Harun mesti ganti strategi. Di dalam akalnya dia mula ingin berdusta.

"Jadi, kau nak saman aku ker, Mal? Tapi tadi aku tak langgar pun lampu merah. Waktu aku jalan tadi lampu kuning masih menyala." Berdusta sedikit boleh melancarkan keadaan, fikir Harun.

"Maaf Harun.. Sebenarnya aku nampak jelas apa yang terjadi tadi. Tolong keluarkan lesen dan kad pengenalan."

Dengan kesal Harun menyerahkan lesen dan kad pengenalan, lalu masuk ke dalam kenderaan dan menutup kaca tingkapnya. Sementara itu, Jamal mengoyakkan sehelai kertas dari buku catatannya sebelum dimasukkan ke dalam sampul surat bersama ic dan lesen memandu.

Beberapa saat kemudian, Jamal mengetuk kaca tingkap kereta Harun. Harun memandang wajah Jamal dengan penuh kecewa. Diturunkan tingkap sedikit saja.

"Ah, satu inci cukup untuk memasukkan surat saman." Fikir Harun.

Harun mengambil sampul yang diselitkan Jamal. Tanpa berkata-kata Jamal terus kembali ke tempat dia bertugas. Tapi, Harun terkejut. Lesen memandu dan ic dikembalikan bersama sebuah nota. Kenapa dia tidak menyaman aku. Dan kenapa diberikan sekeping nota?

Tergesa-gesa Harun membuka dan membaca nota yang berisi tulisan tangan Jamal.

-------------------------------------------------------------------------------------------------

"Harun... Nota ini dah lama ingin aku berikan pada kau. Dah lama tersemat dalam diari aku. Kau mesti terkejut kenapa aku tidak menyaman kau.

Kau tahu kan.. Dulu aku ada seorang anak perempuan dan seorang isteri yang cantik. Aku sayang pada mereka. Kami hidup dalam keluarga yang bahagia. Namun Allah lebih sayangkan mereka.. Mereka sudah pergi meninggalkan dunia ini.. Mereka pergi meninggalkan aku..

Kau tahu, Harun.... 3 tahun yang lepas ketika mereka datang ke persimpangan ini membawa makanan tengahari untukku... Ketika melintas jalan.. Mereka telah dirempuh sebuah kereta.. Ya Harun, mereka dilanggar pemandu yang tidak mempedulikan lampu merah di persimpangan ini.

Pemandu itu dihukum penjara selama 1 tahun. Sekarang pemandu itu bebas bertemu isteri dan memeluk ketiga-tiga anaknya lagi.

Sedangkan anak dan isteriku sudah tiada. Hari ini aku sendirian menyesali peristiwa itu. Yang pergi tidak akan kembali lagi.

Beberapa kali aku cuba memaafkan pemandu itu tetapi sangat sukar.

Begitu juga kali ini bila sahabatku sendiri memandu seperti pemandu itu. Aku kecewa teramat sangat.

Berhati-hatilah ketika memandu Run"

- Jamal -

-------------------------------------------------------------------------------------------------

Harun terkedu. Dia segera keluar dari kenderaan mencari Jamal. Namun, Jamal sudah meninggalkan pos tempat ia bertugas.

Sepanjang jalan pulang dia memandu perlahan, dengan hati tak menentu sambil berharap kesalahannya dimaafkan.

No comments:

Post a Comment