<---pLaYaR.-.iDuP--->

<---pLaYaR.-.iDuP--->

Friday, June 03, 2011

akal & nafsu, mana lebih penting utk dididik?

Kehidupan manusia itu ada zahir dan ada batinnya. Persoalan kehidupan zahir manusia jelas dapat dilihat dan mudah dapat difaham. Tetapi persoalan kehidupan batin manusia bersifat maknawiyah. Batin itu sendiri bermaksud tersembunyi. Oleh itu, ia lebih sukar untuk dilihat dan lebih sukar lagi untuk difahami .

Justeru itu kita lihat, ramai manusia mampu menyelesaikan dan memenuhi keperluan kehidupan zahiriah mereka. Baik dalam soal makan minum, pakaian, kesihatan, tempat tinggal, kerjaya dan sebagainya. Tetapi dalam soal keperluan kehidupan batiniah mereka, masih ramai manusia yang teraba-raba dan tercari-cari.

Sebab itu, ramai manusia masih bergantung dengan akal dalam mengharungi kehidupan batiniah mereka seolah-olah akallah yang layak dan mampu untuk dijadikan panduan dan sandaran. Mereka merasakan akal sudah cukup untuk mencari Tuhan. Mereka merasakan akal sudah cukup untuk memimpin manusia. Mereka merasakan akal sudah cukup untuk menghindar manusia dari berbuat maksiat dan kemungkaran. Mereka merasakan akal sudah cukup untuk mendorong manusia beribadah dan berbuat kebaikan. Mereka juga merasakan akal sudah cukup untuk memelihara mereka dari terjebak dan terjerumus ke dalam keruntuhan akhlak dan moral.

Banyak kita dengar ungkapan-ungkapan terutama dari ibu bapa yang menggambarkan hakikat ini. Di antaranya:

“Biarkanlah budak itu. Jangan marah-marahkan sangat. Kan dia dah besar panjang. Dah lulus universiti pun. Dia dah pandai guna akal. Tahulah dia mana yang baik dan mana yang buruk.”

“Kan budak tu dah besar. Dah berpelajaran. Pandailah dia membawa diri.”

“Ah! Janganlah risau. Dia bukan budak bodoh. Dia cerdik. Takkanlah pulak dia nak buat kerja yang tak elok.”

Begitulah kebanyakan ibu bapa. Tersilap di dalam meletakkan kepercayaan kepada anak-anak. Mentang-mentang anak-anak itu sudah pandai, berkelayakan dan berijazah, sudah merasakan anak-anak itu akan selamat dan akan menjadi baik.

Disebabkan akal boleh berfikir dan boleh menghasilkan rumusan yang logik, maka ramai yang mengambil akal sebagai tempat rujuk dan bersandar kepada akal untuk mendapat pimpinan. Diserahkan kepada akal supaya seseorang itu menjadi baik. Diserahkan juga kepada akal agar seseorang itu tidak berlaku jahat. Hanya kerana akal itu boleh membezakan mana yang baik dan mana yang buruk, maka diserahkan kepada akal untuk membuat pilihan.

Akal memang boleh menimbang di antara yang baik dan yang buruk, di antara yang merugikan dan yang menguntungkan dan di antara yang selamat dan yang berbahaya. Tetapi akal tidak mampu memilih. Akal tidak mampu memihak. Sifat akal adalah berkecuali atau “neutral”. Apa pun bentuk tindakan yang diambil oleh seseorang itu bukanlah disebabkan oleh apa yang difikirkan oleh akalnya tetapi apa yang didorong oleh nafsu atau apa yang dirasakan oleh hatinya.

Logik akal itu dipengaruhi oleh nafsu atau hati. Kalau hati baik dan bersih dan nafsu terdidik, maka hati akan bertindak mengikut apa yang difikirkan logik dan baik oleh akal. Tapi kalau hati kotor dan jahat dan nafsu rakus, maka nafsu boleh mengalahkan logik akal dan akan bertindak mengikut kemahuannya walaupun ianya bertentangan dengan pertimbangan akal.

Oleh itu, menyerahkan baik buruk seseorang itu pada logik akalnya adalah satu perbuatan yang tidak masuk akal. Untuk menentukan seseorang itu menjadi baik bukanlah dengan membina akalnya tetapi dengan membina hatinya dan mendidik nafsunya. Kita tidak boleh menyerahkan anak kita kepada kemampuan akalnya dan ilmunya semata-mata dan mengharap dia akan jadi baik. Hatinya mesti dibina dan nafsunya mesti dididik.

Amalan dan akhlak yang baik itu terpancar dari hati yang baik. Amalan dan akhlak yang buruk pula terpancar dari hati yang jahat. Ia tidak ada kena-mengena dengan akal. Hanya kalau hati baik dan akal bijak, maka akan timbullah banyak idea bagaimana hendak berlaku baik. Tapi kalau hati jahat dan akal bijak maka akan timbullah banyak idea bagaimana hendak berbuat jahat.

Rasulullah SAW ada bersabda:

Maksudnya: “Dalam diri anak Adam itu ada seketul daging. Kalau baik daging itu maka baiklah orangnya. Kalau jahat daging itu, maka jahatlah orangnya. Ketahuilah bahawa itulah hati.”

Oleh itu, sangat bahaya kalau akal anak-anak kita dibina tetapi hatinya dan nafsunya diabaikan. Dia akan menjadi sejahatjahat manusia kerana kejahatannya akan dibantu oleh kepakaran, kemahiran dan kebolehan akalnya. Dia akan menjadi penjahat yang licik dan pandai menyembunyikan kejahatannya.

credit to http://kawansejati.ee.itb.ac.id/book/export/html/17875

No comments:

Post a Comment